28/05/2026
Selepas 4 Perdana Menteri, Hospital Petaling Jaya Dimuktamadkan, Tapi Mengapa Hanya 15 Ekar?
Membina sebuah hospital bukan macam bina kedai makan. Ia perlukan dana dari Kerajaan Persekutuan, dan tanah dari Kerajaan Negeri. Kalau dua-dua pihak tak 'sekepala' macam zaman pergolakan politik 2020-2022 dulu, memang susah nak jalan. Tiga Perdana Menteri bertukar ganti. Menteri Kesihatan pun tiga kali tukar.
Tapi di Selangor, kita cuma ada seorang Menteri Besar. Walaupun waktu itu Kerajaan Negeri dan Pusat berbeza kem, MB Amirudin Shari tetap letakkan ego politik ke tepi. Demi kesihatan rakyat, segala urusan pembinaan tidak disabotaj. Hasilnya? Hospital Kapar, Hospital Cyberjaya, dan Hospital Tanjung Karang berjaya disiapkan untuk kemudahan anda semua.
Sekarang, berbalik kepada soalan tentang Hospital PJ. Kenapa ambil tanah 15 ekar je di Taman Medan? Hospital Kapar sampai 50 ekar. Takkan PJ dianaktirikan?
Dengar sini baik-baik, ini realiti ekonomi yang Kerajaan Negeri terpaksa teliti.
Tanah kosong di tengah-tengah PJ yang padat tu harganya melambung tinggi, sekitar RM250-RM300 sekaki persegi. Kalau Kerajaan nak ambil 50 ekar tanah di PJ macam di Kapar, kos bayar pampasan tanah sahaja boleh mencecah RM1 BILION.
Satu bilion ringgit duit cukai rakyat, hanya untuk tanah! Dalam keadaan kos sara hidup yang menekan sekarang, membelanjakan RM1 bilion hanya untuk tapak adalah satu pembaziran yang tidak masuk akal.
Jadi, apa penyelesaian Kerajaan Negeri hari ini? Kestabilan politik membolehkan keputusan bijak dibuat dengan pantas.
Kita guna tapak 15 ekar di Taman Medan, jimatkan ratusan juta duit pembayar cukai, dan kita bina Hospital Vertikal Moden. Ya, bangunannya akan naik tinggi ke atas (8 tingkat) dan mampu memuatkan 500 buah katil! Lokasinya p**a sangat strategik di tengah-tengah kepesatan bandar PJ.
Inilah hasilnya bila Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan stabil, sehaluan, dan benar-benar fokus buat kerja dari tahun 2023. Tak ada drama politik, hanya penyelesaian yang menjaga duit anda, dan menjaga kesihatan keluarga anda.
Kestabilan ini bukan sekadar retorik politik, ia adalah perisai yang melindungi masa depan kita. Ayuh kita kekalkan perpaduan dan tadbir urus yang bijak ini. Masa depan Selangor, kita bina sama-sama!

22/05/2026
16/05/2026
13/05/2026