11/06/2026
BOUSTEAD PLANTATIONS ANJUR HARI INTEGRITI 2026, MENJUNJUNG AMANAH MEMACU INTEGRITI BERSAMA WARGA ESTET KUALA MUDA
KUALA KETIL, 11 Jun – Boustead Plantations Berhad terus memperkukuh komitmennya dalam membudayakan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik menerusi penganjuran Hari Integriti 2026 yang berlangsung di Kuala Muda Estate, Kuala Ketil, Kedah hari ini.
Program bertemakan “Menjunjung Amanah, Memacu Integriti” itu dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah sebagai usaha memperkasakan kesedaran warga kerja terhadap kepentingan integriti, akauntabiliti serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Majlis tersebut telah disempurnakan dengan ucapan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kedah, Tuan Syed Aswadi bin Syed Soffian, yang menekankan bahawa pembudayaan integriti merupakan tanggungjawab bersama dan perlu diterapkan secara berterusan bagi memastikan organisasi kekal berdaya saing, beretika dan dipercayai.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran kerja yang telus serta bebas daripada amalan yang boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti organisasi.
Sementara itu, sesi perkongsian integriti telah disampaikan oleh Penguasa Kanan Suekarni Binti Mohamed Hashim, Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Kedah. Ceramah tersebut memberi pendedahan mengenai nilai-nilai integriti, risiko rasuah dalam organisasi serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab harian.
Program turut diserikan dengan sesi perkongsian khas oleh penyanyi Aming Spring, selaku Key Communicator. Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa integriti bukan sekadar amalan di tempat kerja, malah merupakan prinsip kehidupan yang perlu diterapkan dalam setiap tindakan dan keputusan.
Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan sifat jujur, amanah, bertanggungjawab dan konsisten dalam mempertahankan prinsip diri walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran serta godaan. Menurut beliau, individu yang berintegriti bukan sahaja mampu membina kepercayaan dalam organisasi, malah menjadi contoh yang baik kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembentukan budaya kerja yang profesional, beretika dan bebas rasuah.
Selain pengisian kesedaran integriti, program ini turut menzahirkan komitmen Boustead Plantations Berhad terhadap tanggungjawab sosial melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan warga estet dan komuniti setempat. Inisiatif ini membuktikan bahawa nilai integriti bukan sahaja diterapkan dalam urusan pentadbiran dan pekerjaan, malah diterjemahkan melalui amalan ihsan, keprihatinan dan perkongsian manfaat kepada masyarakat.
Selesai majlis, Ahli-ahli Lembaga Pengarah (BOD) Boustead Plantations Berhad telah mengadakan lawatan ke reruai pameran SPRM Kedah bagi mendapatkan maklumat berkaitan usaha pencegahan rasuah, pemerkasaan integriti serta amalan tadbir urus terbaik. Lawatan tersebut mencerminkan sokongan berterusan pihak pengurusan tertinggi syarikat terhadap agenda nasional dalam memperkukuh integriti dan memerangi rasuah.
Penganjuran Hari Integriti 2026 ini diharap dapat terus menyemarakkan budaya amanah, ketelusan dan profesionalisme dalam kalangan warga Boustead Plantations Berhad, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan organisasi yang berintegriti tinggi serta menyokong aspirasi negara ke arah Malaysia yang bebas rasuah dan berteraskan nilai-nilai murni.

08/06/2026
07/06/2026
04/06/2026
04/06/2026
02/06/2026
26/05/2026
25/05/2026
19/05/2026
13/05/2026