10/06/2026
8 Jun 2026
Sesi Pembentangan pelajar industri telah dijalankan dengan jayanya pada 8 Jun 2026 di Aula Perdana oleh seorang pelajar latihan industri iaitu Nur Anis Natasha binti Anuar yang telah menjalani latihan industri di KIMIA Kedah bermula 9 Mac 2026.
Sesi penyerahan Sijil Tamat Latihan Industri telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah KIMIA Kedah, ChM Encik Muhamad Hasirun bin Khalid diiringi ChM Siti Humairah binti Salmi.
Tahniah diucapkan kepada Nur Anis Natasha kerana telah berjaya menamatkan latihan industri ini dengan jayanya. Semoga dengan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang menjalani latihan industri di KIMIA Kedah akan menjadi bekalan berharga dalam menempuh alam kerjaya sebenar kelak.
06/06/2026
3 & 4 Jun 2026
Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) telah menyertai pameran sempena Program School’s Out Kid In (SOKI) selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 Jun 2026 bertempat di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayan Utara (PSNCWU).
Program anjuran PSNCWU ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan minat dan menyemarakkan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada masyarakat khususnya golongan pelajar melalui aktiviti - aktiviti sains interaktif yang menarik lagi menyeronokkan.
Wakil KIMIA Kedah yang terlibat terdiri daripada kakitangan dari Bahagian Analisis Sekitaran dan Industri serta Bahagian Analisis Sains Forensik. Pameran sebegini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh KIMIA Kedah dalam bidang sains forensik dan analisis alam sekitar.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua kakitangan KIMIA Kedah yang terlibat dalam menjayakan pameran ini. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi melahirkan masyarakat yang celik sains dan teknologi.
21/05/2026
20 Mei 2026
Unit Kualiti Alam Sekitar & Kualiti Air serta Unit Mikrobiologi , Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) telah menerima jemputan daripada Lembaga Pertanian Kemajuan Muda (MADA) sebagai penceramah dalam salah satu sesi di bawah Kursus Pengendalian dan Persampelan Kualiti Air yang dianjurkan oleh MADA.
Kursus ini telah dihadiri oleh 30 orang kakitangan daripada pelbagai wilayah MADA di negeri Kedah dan Perlis.
Antara intipati perkongsian yang disampaikan termasuklah:
•Pengenalan kepada fungsi dan peranan Jabatan Kimia Malaysia.
•Analisis Kimia bagi Sampel Air Saliran dan Empangan.
•Analisis Bakteria bagi Sampel Air Terawat dan Air Mentah.
Sesi ceramah ini telah disampaikan oleh barisan Pegawai Sains KIMIA Kedah iaitu ChM Puan Khairunnisak binti Hj Abdul Ghani, Encik Nazaruddin bin Kamaldin dan ChM Puan Elissa Lamia Dewi binti Madi.
Bagi memantapkan lagi pemahaman peserta, slot sesi petang telah diisi dengan lawatan ke KIMIA Kedah. Para peserta kursus dibawa melawat ke makmal dan diberi penerangan ringkas berkenaan analisis serta peralatan saintifik yang terlibat.
Semoga sesi ceramah dan lawatan ini dapat meningkatkan lagi pemahaman peserta kursus berkaitan peranan, perkhidmatan dan analisis yang dijalankan di KIMIA Kedah khususnya dalam bidang analisis air.
11/05/2026
11 Mei 2026
Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) telah diadakan di Aula Perdana, KIMIA Kedah pada hari ini 11 Mei 2026.
Majlis perhimpunan telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah KIMIA Kedah, ChM Encik Muhamad Hasirun bin Khalid. Antara pengisian majlis hari ini ialah nyanyian lagu Negaraku, Bacaan Ikrar Rukun Negara, penyampaian amanat serta majlis penyerahan sijil oleh Pengarah KIMIA Kedah kepada Pasukan Pelaksana BCMS KIMIA Kedah dan peserta Kursus Inovasi Projek Extraction Machine yang telah dianjurkan oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra bersama Politeknik Sabah.
Selesai majlis perhimpunan, sesi Taklimat Wacana Ilmu bermula. Sesi perkongsian ilmu ini melibatkan pembentang-pembentang yang terdiri daripada kakitangan KIMIA Kedah.
11/05/2026
10 Mei 2026
Pasukan Tindakan Tumpahan Bahan Kimia telah mengadakan lawatan ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Kedah (MKKM Kedah) di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 10 Mei 2026.
Seramai lapan orang ahli pasukan terlibat dalam lawatan ini. Turut sama adalah Penyelaras OSH KIMIA Kedah, ChM Puan Khuzaida binti Abd Raof.
Ketibaan lawatan telah disambut oleh Encik Muhammad Zulhimam bin Yacob, Pegawai Teknologi Makanan MKKM Kedah. Rombongan lawatan telah diberi penerangan berkaitan aspek keselamatan makanan, pengurusan bahan kimia dan sisa bahan kimia serta di bawa ke makmal untuk melihat analisis yang dijalankan.
Semoga perkongsian ilmu dan pengalaman ini akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua agensi di masa akan datang.
30/04/2026
28 - 30 April 2026, Alor Setar - Audit Dalaman Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) ISO/IEC 17025:2017 telah dijalankan di Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) pada 28 hingga 30 April 2016.
Audit telah diketuai oleh Puan Haslina binti Abdullah bersama barisan juruaudit teknikal iaitu Puan Farizsya Hani binti Hammim, Cik Farah Idwani binti Abd Rahman dan Puan Norhayani binti Jusoh.
Objektif utama audit dijalankan adalah untuk memastikan sistem pengurusan makmal jabatan sentiasa mematuhi keperluan standard MS ISO/IEC 17025:2017 serta dilaksanakan dan diselenggara dengan efektif.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada pasukan audit dan seluruh kakitangan Bahagian Analisis Sekitaran dan Industri atas usaha komitmen yang diberikan.
09/04/2026
8 April 2026
Bahagian Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) telah menerima kunjungan daripada Unit Inovasi, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi pada 8 April 2026 di Beranda Minda, KIMIA Kedah.
Delegasi seramai lapan orang ini diketuai oleh Ts. Dr Anwar bin Hamid@Pa, Timbalan Pengarah Unit Inovasi, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Tinggi. Turut bersama beliau adalah Penolong Pengarah Unit Inovasi iaitu Dr Mohammad Firdaus bin Ani dan Encik Mohd Rizal bin Abd Rahim bersama lima orang pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jitra. Ia bertujuan melihat status projek inovasi Extraction Machine yang dijayakan bersama hasil kerjasama antara politeknik dan KIMIA Kedah.
Kunjungan ini telah membuktikan kejayaan hasil inovasi tersebut dan diharapkan jalinan kerjasama antara pihak Politeknik dan KIMIA Kedah akan terus diperkukuh demi memacu kecemerlangan dalam bidang inovasi dan pembangunan teknologi pada masa hadapan.
08/04/2026
6 April 2026
YBrs. ChM Encik Muhamad Hasirun bin Khalid, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) dengan berbesar hati menerima Kunjungan Hormat daripada Pengurusan Kanan Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. (PCFKSB) pada 6 April 2026 di Beranda Minda, KIMIA Kedah.
Kunjungan Hormat ke atas Tuan Pengarah KIMIA Kedah ini diketuai oleh Encik Mohd Hafiz bin Kedat, Ahli Pengurusan Kanan, PCFKSB bersama tiga kakitangan PCFKSB yang lain iaitu Encik Amir Hakim bin Hashim, Encik Mohd Fauzi bin Hussin dan Puan Tuan Nor Asma binti Tuan Hassan.
Pertemuan ini bukan sahaja sekadar kunjungan rasmi, malah boleh menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pemain industri utama kimia khususnya dalam bidang industri baja.
07/04/2026
6 April 2026
Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah (KIMIA Kedah) telah dijemput sebagai pempamer dalam Program Minggu STEM yang telah diadakan pada 6 April 2026 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pedu, Kuala Nerang, Kedah.
Penyertaan KIMIA Kedah dalam pameran ini bertujuan untuk memperkenal KIMIA Kedah kepada pengunjung serta memberi pendedahan kepada mereka tentang fungsi jabatan dalam bidang analisis sekitaran, industri dan sains forensik khususnya kepada para pelajar yang hadir.
Wakil KIMIA Kedah yang terlibat terdiri daripada kakitangan dari Bahagian Analisis Sekitaran dan Industri serta Bahagian Analisis Sains Forensik. Reruai pameran KIMIA Kedah telah menerima sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran pengunjung dianggarkan seramai 500 orang yang terdiri daripada pelajar sekolah dan guru.