12/06/2026
PROGRAM NEXTGEN SOFTWARE ENGINEERING AND DESIGN SYMPOSIUM 2026
📅 10 Jun 2026
📍 Dewan Lestari, Aras 4, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), telah menyertai Program NextGen Software Engineering and Design Symposium 2026 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai pempamer.
Penyertaan ini memberi peluang kepada PGN untuk mempromosikan serta memperkenalkan peranan dan fungsi organisasi kepada para peserta program.
PGN turut berbesar hati menerima jemputan untuk menyertai program ini. Dr. Azira binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Aplikasi Geospatial, telah dijemput sebagai panel penilai bagi pertandingan projek Software Engineering and Design yang dibangunkan oleh para penuntut Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPNM.
Manakala, Sr. Rosmartini binti Abd Rahman, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Polisi, Standard dan Outreach, turut dijemput sebagai salah seorang panel forum bagi berkongsi pandangan mengenai kepentingan data geospatial dalam memperkukuh aspek pertahanan, keselamatan serta proses pembuatan keputusan strategik negara.
Melalui sesi perkongsian tersebut, para peserta turut didedahkan kepada peranan teknologi geospatial, Sistem Maklumat Geografi (GIS), kecerdasan buatan (AI) dan analitik data dalam menyokong perancangan operasi, pengurusan aset, pemantauan situasi serta pembangunan negara berasaskan data.
PGN percaya bahawa kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan merupakan pemangkin penting kepada kemajuan negara serta pembangunan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing selaras dengan aspirasi transformasi digital negara.
09/06/2026
LAWATAN AKADEMIK PELAJAR DAN PENSYARAH JABATAN KEJURUTERAAN BIOLOGI DAN PERTANIAN, FAKULTI KEJURUTERAAN, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM)
8 Jun 2026 | Bilik Mesyuarat Sri Menanti, Aras 4, Podium 1, Menara PETRA
Pusat Geospatial Negara (PGN) telah menerima lawatan akademik daripada pelajar dan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai struktur data Sistem Maklumat Geografi (GIS), sistem pengurusan pangkalan data, kaedah pemerolehan dan pembentangan data, serta analisis data spatial. Para pelajar turut berpeluang memahami peranan PGN sebagai penyelaras Infrastruktur Data Geospatial Kebangsaan (MyGDI) dan kepentingan data geospatial dalam menyokong analisis serta proses pembuatan keputusan berasaskan data.
Melalui sesi perkongsian yang diadakan, para pelajar turut didedahkan kepada aplikasi teknologi geospatial dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pengurusan sumber asli, perancangan pembangunan dan pengurusan bencana.
Semoga lawatan akademik ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kefahaman para pelajar mengenai teknologi geospatial serta menggalakkan penerapan teknologi tersebut dalam pembangunan sektor pertanian yang lebih mampan, berdaya saing dan berteraskan inovasi.
22/05/2026
𝐋𝐀𝐓𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍 𝐆𝐑𝐀𝐅𝐈𝐊 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐋𝐓𝐈𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀, 𝐏𝐔𝐒𝐀𝐓 𝐆𝐄𝐎𝐒𝐏𝐀𝐓𝐈𝐀𝐋 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 (𝐏𝐆𝐍), 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐌𝐁𝐄𝐑 𝐀𝐒𝐋𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐋𝐄𝐒𝐓𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐀𝐋𝐀𝐌 (𝐍𝐑𝐄𝐒)
18 - 21 Mei 2026 | 8.00 pagi - 5.00 petang | Universiti Islam Selangor (UIS)
Seksyen Portal dan Multimedia, Cawangan Aplikasi Geospatial telah menganjurkan Latihan Pembangunan Grafik dan Multimedia, Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mulai 18 hingga 21 Mei 2026, bertempat di Universiti Islam Selangor (UIS), Kajang, Selangor. Program latihan ini telah disertai oleh seramai 15 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang meliputi Pusat Geospatial Negara (PGN), Unit Komunikasi Korporat (UKK) dan Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM). Objektif utama pelaksanaan latihan ini adalah untuk memberi pendedahan berkaitan penggunaan perisian multimedia dalam pembangunan bahan grafik, reka bentuk visual serta kandungan digital bagi menyokong penyampaian maklumat di Jabatan. Selain itu, latihan ini turut bertujuan meningkatkan kemahiran pegawai dalam penghasilan reka bentuk kreatif, penyuntingan video, ilustrasi digital, animasi grafik dan bahan multimedia yang berkualiti di samping memastikan setiap peserta dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari bagi memperkukuh mutu penyampaian bahan komunikasi korporat, promosi serta penyebaran maklumat Jabatan secara lebih kreatif dan berkesan. Sepanjang pelaksanaan latihan, para peserta telah mengikuti sesi penerangan dan latihan secara hands-on yang memfokuskan kepada pembangunan grafik dan video dengan menggunakan beberapa perisian utama seperti Adobe Lightroom, Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Adobe After Effects.
Latihan ini telah dikendalikan oleh Encik Nur Muizz bin Mohamed Salleh, pensyarah pakar di dalam bidang virtual realiti, graphic design, 3D animation dan suntingan audio serta merupakan Ketua Unit Pembangunan Sistem dan Aplikasi di Universiti Islam Selangor (UIS). Latihan berstruktur tahap pertengahan ini telah memberi fokus kepada penghasilan teknik penyuntingan imej digital, penghasilan bahan grafik kreatif, pembangunan ilustrasi visual, asas animasi grafik serta penyuntingan kandungan multimedia bagi tujuan penyampaian maklumat dan promosi digital.
Di akhir kursus, semua peserta telah diberikan tugasan projek melibatkan penghasilan bahan grafik dan video untuk dinilai berdasarkan kreativiti, teknik penyampaian visual dan penguasaan kemahiran yang dipelajari sepanjang latihan. Berdasarkan penilaian yang dijalankan, tiga peserta terbaik telah diumumkan sebagai pemenang iaitu Puan Latiffah binti Masuri dari Pusat Geospatial Negara (PGN), Encik Mohd Ridzuan Fuad bin Shaiful Annuar dari UKK serta Encik Quek Ming Jen dari BPM.
Penganjuran latihan ini dilihat sangat bertepatan dalam memperkukuh kemahiran dan pengetahuan pegawai khususnya dalam bidang pembangunan grafik dan multimedia yang kini menjadi medium penting dalam penyampaian maklumat digital. Peningkatan bakat secara berterusan di dalam bidang dunia kreatif dan multimedia dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian mutu perkhidmatan awam kepada rakyat dan selanjutnya mengekalkan kecemerlangan organisasi ke tahap yang lebih optimum.
22/05/2026
𝐋𝐀𝐓𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐀𝐏𝐋𝐈𝐊𝐀𝐒𝐈 𝐌𝐲𝐆𝐃𝐈 𝐄𝐗𝐏𝐋𝐎𝐑𝐄𝐑 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐈𝐒𝐈𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐄𝐑𝐁𝐈𝐓𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐓𝐀𝐃𝐀𝐓𝐀 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐊𝐀𝐓𝐄𝐆𝐎𝐑𝐈 𝐃𝐄𝐌𝐀𝐑𝐂𝐀𝐓𝐈𝐎𝐍, 𝐆𝐄𝐍𝐄𝐑𝐀𝐋 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐏𝐄𝐂𝐈𝐀𝐋 𝐔𝐒𝐄
21 Mei 2026 | 9.30 pagi | Bilik COE, Aras 8, Menara PETRA
Satu latihan aplikasi MyGDI Explorer bagi pengisian dan penerbitan metadata telah diadakan bersama agensi pembekal data (APD) di bawah kategori Demarcation, General dan Special Use . Sesi taklimat latihan ini telah disampaikan oleh LSr Zaahira bin Ismail dari Cawangan Pembangunan Standard, Polisi dan Outreach (CPPSO), Pusat Geospatial Negara (PGN) dan dibantu oleh beberapa pegawai di PGN.
Metadata merupakan maklumat berkenaan data seperti tajuk produk/data, abstrak, pegawai bertanggungjawab, format, kaedah pengedaran serta lain-lain maklumat mengenai data tersebut. Sehubungan itu, pengisian dan penerbitan metadata adalah penting dan bertujuan untuk dihebahkan melalui aplikasi MyGDI Explorer.
Antara agensi yang terlibat dalam sesi latihan ini terdiri daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), PLANMalaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
12/05/2026
𝗦𝗘𝗦𝗜 𝗧𝗘𝗖𝗛𝗡𝗢𝗟𝗢𝗚𝗬 𝗨𝗣𝗗𝗔𝗧𝗘 : 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗦𝗜𝗔𝗡 𝗞𝗤𝗚𝗜𝗦
11 Mei 2026 | 10.30 pagi | Bilik Mesyuarat Permata, Aras 7, Menara PETRA
Pengerusi: Sr Juzaila binti Abd. Satar, Timbalan Pengarah, Cawangan Pembangunan Geodata dan Penyelidikan (CPGP), Pusat Geospatial Negara (PGN), NRES.
Pusat Geospatial Negara (PGN) telah mengadakan sesi Technology Update Perisian KQGIS yang disampaikan oleh Sky-Shine Corporation Sdn. Bhd., diketuai oleh En. M. Muhedi bin Musawari. Sesi taklimat merangkumi aspek lesen penggunaan, penyelenggaraan, sokongan teknikal, integrasi pangkalan data dan pembangunan sistem aplikasi GIS. Peserta turut menyaksikan demonstrasi paparan peta 2D/3D, pemprosesan data spatial dan aplikasi Web GIS. Melalui sesi ini, kakitangan PGN yang hadir dapat memahami keupayaan teknikal dan teknologi KQGIS serta berpeluang menilai potensi penggunaannya dalam menyokong operasi dan pembangunan geospatial organisasi.
06/05/2026
𝐵𝓊𝓁𝑒𝓉𝒾𝓃 𝒢𝑒𝑜𝓈𝓅𝒶𝓉𝒾𝒶𝓁 𝒮𝑒𝓀𝓉𝑜𝓇 𝒜𝓌𝒶𝓂 (𝐵𝒢𝒮𝒜) 𝐸𝒹𝒾𝓈𝒾 𝟤𝟢𝟤𝟧 𝓀𝒾𝓃𝒾 𝓈𝓊𝒹𝒶𝒽 𝓉𝑒𝓇𝓈𝑒𝒹𝒾𝒶 𝓊𝓃𝓉𝓊𝓀 𝒹𝒾𝒷𝒶𝒸𝒶!
Nak tahu perkembangan terkini dunia geospatial negara?
Jom selami pelbagai perkongsian menarik dalam BGSA edisi kali ini yang menghimpunkan berita, inisiatif dan inspirasi daripada komuniti geospatial negara. 🌏🛰️
Antara kandungan menarik yang dimuatkan:
🏆 Artikel eksklusif daripada para pemenang Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025
📰 Berita dan pencapaian terkini berkaitan geospatial di Malaysia
📍 Perkongsian promosi serta aktiviti MyGDI
💡 Pelbagai input bermanfaat untuk menambah pengetahuan dan inspirasi
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan info terkini, idea baharu dan kisah kejayaan dalam pembangunan geospatial negara.
📖 Baca sekarang melalui pautan berikut:
https://www.mygeoportal.gov.my/index.php/ms/resources/publications/buletin-geospatial-sektor-awam-edisi-2025
04/05/2026
𝗠𝗘𝗦𝗬𝗨𝗔𝗥𝗔𝗧 𝗞𝗨𝗠𝗣𝗨𝗟𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔 𝗦𝗧𝗔𝗡𝗗𝗔𝗥𝗗𝗜𝗦𝗔𝗦𝗜 𝗞𝗢𝗗 𝗗𝗔𝗡 𝗪𝗔𝗥𝗡𝗔 𝗦𝗜𝗠𝗕𝗢𝗟 (𝐊𝐊𝗞𝗪𝗦) 𝗕𝗜𝗟. 𝟏/𝟮𝟬𝟮𝟲 𝗕𝗔𝗚𝗜 𝗞𝗔𝗧𝗘𝗚𝗢𝗥𝗜 𝗦𝗣𝗘𝗖𝗜𝗔𝗟 𝗨𝗦𝗘, 𝗛𝗬𝗣𝗦𝗢𝗚𝗥𝗔𝗣𝗛𝗬 𝐃𝐀𝐍 𝗚𝗘𝗡𝗘𝗥𝗔𝗟
4 MEI 2026 | 9.30pagi | Bilik Perbincangan 3, Aras 8, Menara PETRA
Mesyuarat Kumpulan Kerja Standardisasi Kod Dan Warna Simbol (KKKWS) Bil. 1/2026 bagi Kategori Hypsography, General Dan Special Use telah dipengerusikan oleh Sr Nik Zamri Sham bin Nik Bahari Shah, Timbalan Pengarah, Cawangan Pembangunan Polisi, Standard dan Outreach (CPPSO).
Tujuan mesyuarat ini adalah untuk mendapatkan cadangan serta persetujuan daripada agensi berkaitan kod dan warna simbol bagi fitur Special Use, Hypsography dan General yang lazim digunakan dalam paparan peta-peta tematik/ topografi dan aplikasi di agensi-agensi. Simbol yang telah dipersetujui ini kemudian boleh dijadikan rujukan dan digunapakai oleh agensi lain. Antara agensi yang telah hadir adalah Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) selaku rakan strategik bagi kumpulan kerja ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia)
09/04/2026
𝗠𝗘𝗦𝗬𝗨𝗔𝗥𝗔𝗧 𝗞𝗨𝗠𝗣𝗨𝗟𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗥𝗝𝗔 𝗠𝗨𝗟𝗧𝗜-𝗟𝗜𝗡𝗚𝗨𝗔𝗟 𝗚𝗟𝗢𝗦𝗦𝗔𝗥𝗬 𝗢𝗙 𝗧𝗘𝗥𝗠𝗦 (𝗞𝗞𝗠𝗟𝗚𝗧) 𝗠𝗔𝗞𝗟𝗨𝗠𝗔𝗧 𝗚𝗘𝗢𝗚𝗥𝗔𝗙𝗜/𝗚𝗘𝗢𝗠𝗔𝗧𝗜𝗞 𝗕𝗜𝗟𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝟭 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲
9 April 2026 | Bilik Perbincangan 3, Pusat Geospatial Negara
Kumpulan Kerja Multi-Lingual Glossary of Terms (KKMLGT) Maklumat Geografi/Geomatik diwujudkan untuk menterjemah dan menentukan bidang serta sub bidang istilah-istilah Multi-Lingual Glossary of Terms (MLGT) berdasarkan dokumen ISO/TC 211 MLGT - Release 5 Terminological Records dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Hasil terjemahan akan diterbitkan dalam laman sesawang Geolexica, laman sesawang MyGeoportal dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk rujukan umum.
Mesyuarat KKMLGT Bilangan 1 Tahun 2026 yang diadakan pada 9 April 2026 dipengerusikan oleh YBrs. Sr Gs. Dr. Mohammad Zakri bin Tarmidi, Pensyarah Kanan Jabatan Geoinformasi Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan dihadiri oleh wakil agensi seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)
03/04/2026
𝗦𝗘𝗦𝗜 𝗟𝗜𝗕𝗔𝗧 𝗨𝗥𝗨𝗦 𝗞𝗔𝗝𝗜𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗦𝗘𝗗𝗜𝗔𝗔𝗡 𝗣𝗥𝗢𝗝𝗘𝗞 𝗣𝗘𝗠𝗨𝗦𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗛𝗜𝗗𝗠𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗚𝗘𝗢𝗦𝗣𝗔𝗧𝗜𝗔𝗟 𝗦𝗘𝗞𝗧𝗢𝗥 𝗔𝗪𝗔𝗠 (𝗣𝗚𝗦𝗔) 𝗕𝗔𝗚𝗜 𝗭𝗢𝗡 𝗧𝗘𝗡𝗚𝗔𝗛
2 April 2026 | Hotel Everly, Putrajaya
Satu sesi libat urus yang melibatkan kementerian, jabatan dan agensi dari zon tengah telah diadakan bagi mengenal pasti dan memperincikan keperluan bagi pelaksanaan Projek Pemusatan Perkhidmatan Geospatial Sektor Awam (PGSA).
Projek pemusatan bertujuan mengoptimumkan penggunaan infrastruktur dan infostruktur geospatial disokong oleh polisi, dasar, pelan pembangunan kompetensi serta tadbir urus yang menyeluruh dan sistematik.
Pusat Geospatial Negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama serta maklum balas semua pihak yang hadir dalam sesi libat urus ini.